Antara fasiliti yang dimasukkan dalam profail kajian UTHM.

BATU PAHAT – Bagi melestarikan pengurusan dan penyelenggaraan fasiliti dan
kemudahan awam di kawasan kejiranan komuniti setempat, sembilan penyelidik,
Pusat Kecemerlangan Pengurusan Fasiliti (CeFM), Universiti Tun Hussein Onn
Malaysia (UTHM), telah melaksanakan kajian membangunkan profil fasiliti awam di
kawasan kejiranan komuniti di daerah Batu Pahat.

Bagi menghasilkan profil fasiliti awam ini, maka satu kajian audit fasiliti awam telah
dilaksanakan selama enam bulan bermula November 2021 melibatkan lima mukim
dan 54 kampung sekitar kawasan Parit Sulong, Batu Pahat.

Kajian yang diketuai oleh Sr Dr. Rozilah Kasim ini turut melibatkan pemegang taruh
yang terdiri daripada lima penghulu mukim, Majlis Daerah Yong Peng, Majlis
Perbandaran Batu Pahat, Pejabat daerah Batu Pahat, Jabatan Peparitan dan Saliran
Batu Pahat dan Jabatan Kerja Raya Batu Pahat.

Ia turut disertai oleh Prof. Madya Dr. Azlina Md Yassin, Prof. Madya Dr. Rozlin Zainal,
Prof. Madya Dr. Narimah Kasim, Dr. Khadijah Md Arrifin,  Puan Syarifah Meryam Shareh,
Sr Dr. Mohd Hafizal Ishak, Dr. Hamidon Mohd Noh dan Ts. Dr. Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim.

Dr. Rozilah berkata, pandemik Covid-19 yang melanda dunia lebih dua tahun telah
menyebabkan beberapa tempat fasiliti awam menjadi terbiar, rosak dan tidak
diselenggara dengan baik sehingga menjadi tempat yang tidak lagi selamat untuk
digunakan.

“Apabila sesebuah tempat yang telah dibangunkan ini tidak dimanfaatkan dan
diselenggara dengan baik maka fasiliti ini terdedah kepada kerosakan dan
menyumbang kepada pembaziran dana awam,” katanya.

Fenomena ini turut menjadi satu cabaran utama kepada pihak-pihak yang terlibat
dalam pengurusan dan penyelenggaraan fasiliti awam di kawasan kejiranan
komuniti.

Persoalan yang timbul, adakah fasiliti awam sedia ada di kawasan kejiranan
komuniti ini masih selamat digunakan dan diselenggara dengan baik?

Justeru itu, kerja-kerja profil fasiliti awam ini mengguna pakai senarai semak
FMAudit-Tool yang dibangunkan oleh CeFM, UTHM.

Tahap penyelenggaraan 13 jenis bangunan fasiliti awam termasuk surau, masjid,
fasiliti sukan, dewan komuniti, balai raya, tandas awam, tempat menunggu bas telah
berjaya disaring dan diprofil mengikut kampung dan mukim.

Menurut Dr. Rozilah, kajian ini dilakukan sebagai usaha membangunkan profil fasiliti
awam di kawasan kejiranan untuk kelestarian pengurusan dan penyelengaraan
aktiviti fasiliti awam oleh pihak-pihak yang terlibat.

Tambah beliau usaha ini juga bagi meningkatkan kesedaran komuniti terhadap
kelestarian kawasan kejiranan yang kondusif, selesa dan selamat untuk didiami.
“Kelestarian fasiliti awam komuniti setempat yang kita nikmati pada hari ini adalah
pinjaman daripada generasi masa depan.

“Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab generasi masa kini untuk memeliharanya
sebaik mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette