Tertuduh, Low Jen Fung dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun, 8 September lalu.

MELAKA – Seorang pekerja sebuah kedai telefon bimbit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun pada minggu lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Low Jen Fung, 18, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, suspek didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun 11 bulan di Jalan PSU 3, Plaza Sungai Udang, Melaka Tengah di sini kira-kira pukul 3.04 pagi 8 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim manakala tertuduh diwakili peguam, Cassian Anthony dan Kent Tan Chow Teng.

Muhammad Nazrin memohon mahkamah tidak mengenakan jaminan terhadap tertuduh namun mencadangkan jaminan RM20,000 jika mahkamah menggunakan budi bicara selain syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai.

Cassian bagaimanapun merayu jaminan rendah kerana anak guamnya baru dua minggu bekerja manakala ibunya hanya berpendapatan RM1,800 sebulan serta perlu menjaga nenek tertuduh yang mengidap sakit darah tinggi dan kencing manis.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 serta bersetuju dengan syarat tambahan.

Mahkamah menetapkan 12 Oktober ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan mendapatkan laporan perubatan mangsa. – MalaysiaGazette.