Seorang lelaki tersepit di bawah pokok kelapa sawit selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandunya di Jalan Simpang Utara Batu Arang menghala ke Rawang pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tersepit di bawah pokok kelapa sawit selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandunya di Jalan Simpang Utara Batu Arang menghala ke Rawang pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Selangor Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata, ketika kejadian pada 6.16 pagi tadi, mangsa S. Navindran berusia 39 tahun tercampak dari Perodua Kancil yang dipandunya selepas terbabas.

“Mangsa yang tersepit di bawah pokok kelapa sawit berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan mengalami cedera parah di kaki kiri,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan yang sama, mangsa kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Dalam kejadian berasingan, dua beranak cedera selepas kereta yang dipandu lelaki berusia 49 tahun melanggar bahagian belakang lori sampah.

PGO Selangor berkata, kejadian berkenaan berlaku pukul 6.43 pagi di susur keluar Hospital Serdang.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan 4 roda jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki bersama anak perempuannya melanggar bahagian belakang lori sampah,” jelas kenyataan itu.

Akibat kejadian, kaki kanan Hadirah Hazarul Ariffin, 23, yang merupakan anak perempuan pemandu patah manakala bapanya Hazaryk Ariffin mengalami cedera ringan.

Kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Serdang.-MalaysiaGazette