hasbie muda pemuda amanah
Mohd. Hasbie Muda ketika menyampaikan pidato Ketua Pemuda pada Konvensyen Pemuda Amanah Nasional Tahun 2022 di Palm Seremban Hotel, Negeri Sembilan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 SEPTEMBER 2022.

SEREMBAN – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) kecewa dengan tindakan parti yang dilihat lebih terbuka untuk melepaskan kerusi ‘gred A’ kepada calon-calon muda daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Ketuanya, Mohd. Hasbie Muda berkata, pada masa yang sama, sayap Pemuda Amanah sendiri diberi kerusi ‘khidmat nasional’ dengan alasan ‘menebas lalang’.

“Janganlah kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan,” katanya ketika menyampaikan pidato Ketua Pemuda pada Konvensyen Pemuda Amanah Nasional di sini hari ini.

Konvensyen yang dirasmikan oleh Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar itu turut dihadiri Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr. Kelvin Yii Lee Wuen; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim dan Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Dr. Muhaimin Sulam.

Baru-baru ini, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan hasratnya untuk menyertai PH.

Beliau menambah, hakikatnya, tiada jalan pintas menarik undi anak muda dengan hanya menyerap pihak lain di bawah payung besar PH.

Mohd. Hasbie memberitahu, wajah atau imej besar Amanah dan PH juga perlu segar dan menarik agar anak muda dan pelbagai segmen lain kembali menyokong parti itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap pucuk pimpinan Amanah memberi kepercayaan kepada calon-calon pemuda untuk bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Keterlihatan pemuda harus ditonjolkan dengan lebih ketara terutama di kerusi-kerusi yang berpotensi besar untuk ditandingi Amanah,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian konvensyen tersebut, Mohd. Hasbie berkata, Pemuda Amanah mengalu-alukan hasrat MUDA itu.

“Cuma bentuk kerjasama itu kita serahkan kepada Majlis Presiden PH sama ada sebagai parti komponen atau rakan strategik,” jelasnya.

Ketika ditanya kemungkinan Muda mengambil kuota kerusi sayap-sayap pemuda lain dalam PH, Mohd. Hasbie turut menyerahkan perkara itu kepada pertimbangan Majlis Presiden. – MalaysiaGazette