Mendiang Presiden MIC Tun S Samy Vellu dibawa menggunakan kereta untuk upacara pembakaran di Krematorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Suasana sedih mengiringi upacara pembakaran jasad mendiang bekas Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu di sini hari ini.

Bermula dari keranda membawa jasad mendiang dibawa keluar dari kediamannya sampailah ke upacara pembakaran di Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Cheras petang tadi.

Sebaik sahaja keluar dari kediaman, keranda diarak di sekitar kawasan kediaman bekas Menteri Kerja Raya terlebih dahulu  dibawa ke Ibu Pejabat MIC di Jalan Rahmat di sini sebelum mayatnya dibawa untuk upacara pembatalan mengikut ritual Hindu.

Beribu-ribu orang termasuk pemimpin, ahli politik, kenalan, keluarga dan sahabat handai mendiang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Samy.

Sejurus selepas sembahyang mengikut ritual agama Hindu selama lebih dua jam, keranda diusung keluar dengan penuh penghormatan sebelum dibawa berarak ke Ibu Pejabat MIC di mana legasi Samy sebagai presiden parti hampir 30 tahun bermula.

Ketika kereta yang mengusung keranda itu sampai, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran bersama timbalannya, Datuk Seri M. Saravanan dan naib presiden parti itu, Datuk T. Mohan melakukan upacara sembahyang sebelum keranda di bawa ke krematorium bagi upacara pembakaran.

Mendiang Presiden MIC Tun S Samy Vellu diusung keluar untuk upacara pembakaran ketika di kediamannya di Taman Kaya Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2022.

Situasi di pekarangan Ibu Pejabat MIC juga agak beremosi malah Vigneswaran dan Saravanan dilihat mengalirkan air mata beberapa kali sambil membacakan ayat-ayat sembahyang buat mendiang.

Jasad Samy dibakar selepas upacara ritual sekitar pukul 5.40 petang.

Suasana pilu terus menyelubungi kawasan pembakaran di Jalan Kuari Cheras itu dengan masing-masing tidak dapat menahan kesedihan dengan pemergian Samy.

Untuk makluman, sepanjang hayatnya, Samy merupakan antara menteri Kabinet paling lama berkhidmat iaitu kira-kira 30 tahun bermula sebagai Menteri Kerja Raya sejak tahun 1979.

Sekitar upacara pembakaran mendiang Presiden MIC Tun S Samy Vellu di Krematorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2022.

Semasa menjadi Menteri Kerja Raya, Samy banyak memainkan peranan dalam membangunkan rangkaian jalan raya serta pengangkutan dalam negara dan atas daya usahanya itu pada 1987, beliau dianugerahkan  International Man of the Year Award oleh The International Road Federation (IPF).

Sebelum itu, Samy pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989 hingga 1995 yang menyaksikan kejayaan beliau mengendalikan projek penswastaan Jabatan Telekom, Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Pos sebelum kembali ke Kementerian Kerja Raya pada 1995 hingga 2008.

Samy yang dilahirkan pada 8 Mac 1936 meninggal dunia kira-kira 7 pagi semalam di kediamannya pada usia 86 tahun.

Ahli keluarga yang membawa gambar mendiang Presiden MIC Tun S Samy Vellu semasa upacara pembakaran di Krematorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2022.

Mendiang meninggalkan balu, Toh Puan R. Indrani, seorang anak perempuam, S. Mangayarkarasi dan anak lelaki, Datuk Seri S. Vell Paari. 

MalaysiaGazette turut difahamkan sebuah majlis yang akan disertai oleh lebih 20,000 orang dijangka diadakan dalam masa terdekat bagi memberikan penghormatan kepada mendiang anjuran MIC  dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

Sekitar upacara pembakaran mendiang Presiden MIC Tun S Samy Vellu di Krematorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2022.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast