Zuraida melakukan simbolik penanaman pokok selepas merasmikan Program Penanaman Pokok Sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia di Stesen Penyelidikan Insstitut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Selandar, Jasin, Melaka hari ini.

JASIN – Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak mengetahui wujud dakwaan  terdapat ahli akar umbi Barisan Nasional (BN) di beberapa negeri yang menolak hasrat parti itu menjadi komponennya.

Presiden Pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, apa yang diketahuinya ketika ini adalah, perbincangan terhadap hasrat parti itu berjalan baik dan positif.

“Saya tak maklum perkara itu (BN negeri tolak hasrat jadi komponen) dan tidak ada dalam rekod saya. As far I’am concern, I don’t know.

“Setakat ini, perbincangan berjalan dengan baik dan positif jadi saya bekerja sahaja untuk perkukuhkan parti saya, itu yang yang lebih penting ketika ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Penanaman Pokok Sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia di Stesen Penyelidikan Insstitut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Selandar hari ini.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Ampang itu berkata, setakat ini, beliau yakin dengan penerimaan rakyat terhadap PBM untuk memenangi 14 kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Insya-Allah, saya yakin (boleh menang tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri),” katanya ringkas.

PBM sebelum ini telah mengemukakan permohonannya untuk menyertai BN tetapi sehingga kini ia belum mendapat kelulusan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan gabungan parti itu masih memperhalusi permohonan PBM untuk menjadi komponennya. – Malaysia Gazette.