SEREMBAN – Mohamad Sabu menganggap Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai individu yang mengalami masalah dalaman pemikiran apabila mendakwa ramai pemimpin gabungan parti pembangkang tidak beriman dan tidak bermoral.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, Presiden Pas boleh berubah pada setiap minggu dan pada minggu seterusnya ia boleh bercakap perkara lain.
“Saya setuju dengan jawapan Tun Mahathir dulu dia kata UMNO tu kafir, sekarang dia kawan dengan UMNO, semua kafir jugalah, ini semua kafir belaka.
“Tak perlu kita ulaslah…Presiden Pas ni dia akan berubah tiap-tiap minggu, next week kita tak tahu pula apa akan berlaku…saya rasa dia hadapi masalah dalamanlah, dalaman pemikiran dia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Nasional 2022 Parti Amanah, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tulisan Abdul Hadi menerusi catatan Minda Presiden Pas baru-baru ini, apabila menegaskan, Pas tidak akan membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk menerusi pendekatan khemah besar dalam pilihan raya umum.
Abdul Hadi mendakwa, ini kerana ramai dalam kalangan pimpinan PH tidak beriman dan tidak bermoral.
Menurut beliau, PH ketika menghadapi PRU-14 pada 2018 juga memperlihatkan parti gabungan pembangkang itu secara terbuka mengumpulkan ‘kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah’.
Abdul Hadi juga mendakwa, PH mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu-gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau bersimpati dengan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dan tidak mahu memanjangkan isu tersebut.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad pada sidang media sama menegaskan, pihaknya tidak hairan dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Pas itu.
Ini disebabkan katanya, parti tersebut sendiri tidak mempunyai modal selain menjual agama untuk kepentingan politik.
“Dia nak tunjuk prestasi yang baik dalam petadbiran apa yang dia ada dekat Kelantan, dekat Terengganu, Kedah, pelbagai-bagai masalah yang dihadapi oleh rakyat.
“Dia nak cakap apa lagi, kementerian-kementerian yang mereka pegang pun apa prestasinya…apa yang dia ada modal, modal dia hanyalah kafirkan semua orang, semua orang ni tak Islamik, semua ni tak berakhlak, tak bermoral, dia sajalah yang baik.
“..tetapi dari sudut apa yang kita lihat secara praktiknya jauh, apa yang dikatakan dan apa yang diamalkan,” ujarnya.
Justeru tambah beliau, Pas hanya menjadikan agama sebagai alat untuk diperkudakan kerana sedar bahawa mereka terdesak dan tidak ada apa untuk dijadikan isu. – MalaysiaGazette