KUALA  LUMPUR – Membuat penampilan sulungnya pada pentas Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, atlet muda skuasy Selangor R. Darsyanaa mengakui tidak getar biarpun dijadual akan berdepan cabaran atlet kebangsaan Chan Yiwen bagi acara individu wanita petang ini.

Malah gadis berusia 16 tahun mewakili kontinjen Selangor itu optimis mampu mengetepikan cabaran atlet pilihan kedua perlawanan terbabit dalam misi memburu pingat Sukma pertamanya itu.

“Walaupun saya tahu Yiwen berada dalam level tinggi dan lebih berumur daripada saya, tapi saya nak kalahkan dia. Saya yakin boleh buat dan saya tak takut walau ini Sukma yang pertama bagi saya.

“Saya nak jadi macam Datuk Nicol Ann David  saya banyak belajar daripada cara beliau bermain dengan menonton video perlawanan sebelum ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Skuasy, Jalan Duta di sini hari ini.

Darsyanaa turut meletakkan keazaman tinggi bagi menyumbang pingat buat kontinjen diwakilinya itu selain menyasarkan untuk meningkatkan rankingnya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu dalam masa sama memaklumkan memasang impian bagi mewakili negara dalam sukan yang diminatinya itu satu hari nanti.

Terdahulu, beliau berjaya menundukkan atlet Pahang S. Leakha Breshanthy pada perlawanan pertamanya dengan kemenangan bergaya 11-6,11-0,11-6 pagi tadi.

Darsyanaa dijadual bertemu Yiwen mewakili Wilayah Persekutuan yang mendapat ‘bye’ perlawanan pertama pada jam 2 petang ini di gelanggang sama.

Selain Yiwen, atlet kebangsaan yang turut menyertai acara individu wanita membabitkan pemain pilihan pertama perlawanan Aifa Azman dan adiknya Aira Azman yang mewakili Kedah serta Noor Ainaa Amani Ampandi mewakili Wilayah Persekutuan.

Ketiga-tiga mereka telah mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama perlawanan hari ini.  – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast