Pengerusi Pemuda Barisan Nasional, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berucap pada Pelancaran Pemuda Barisan Nasional di Stadium Titwangsa Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mahu hasil siasatan pasukan khas terhadap dakwaan buku bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas didedahkan segera.

Tegasnya, siasatan itu perlu disegerakan memandangkan kandungan buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ bertentangan dengan Perlembagaan negara.

“Buku Tommy Thomas jelas bongkar mereka boleh pilih-pilih siapa hakim yang mereka nak lantik.

“Sedangkan, Pakatan Harapan (PH) tidak boleh melantik hakim berdasarkan kehendak mereka sahaja, kita ada Suruhanjaya Perlantikan Hakim yang khususnya,” katanya ketika berucap pada pelancaran jentera Pemuda Barisan Nasional di Stadium Titiwangsa hari ini.

Menurutnya, menerusi buku tersebut, Tommy mendedahhan bagaimana Dr Mahathir dan beliau memilih siapa yang menjadi hakim.

Tindakan PH itu, selarnya telah mencalar sistem mahkamah dan kehakiman negara.

Sebelum ini, kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan Tommy, termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih yang ditulis dalam buku itu.

Buku berkenaan yang diterbitkan Thomas mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, terdapat 19 isu penting daripada buku itu yang memerlukan perhatian lanjut pihak kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast