Mohamad Sabu.- Foto MUHD NA'IM, 17 SEPTEMBER 2022.

SEREMBAN – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak wajar hanya bermain dengan angka-angka pertumbuhan atau unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sebaliknya, beliau perlu membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sekali gus menolong rakyat dan menjana pekerjaan dan pendapatan mereka, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Tegasnya, kerajaan jangan hanya menyelamatkan syarikat gergasi-gergasi besar seperti Sapura Energy dengan suntikan berbilion ringgit sebaliknya turut memberi tumpuan kepada PMKS.

“Meskipun ada pakej rangsangan ekonomi untuk PMKS, namun masih terdapat isu dan cabaran yang perlu ditangani dalam fasa pemulihan.

“Antaranya adalah jurang digital, produktiviti dan penglibatan pekerja yang amat rendah, dalam rangkaian rantaian bekalan serta kurang akses kepada pembiayaan,” katanya ketika menyampaikan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional 2022, Parti Amanah Negara di sini, hari ini.

Menurut Mohamad, walau apa pun alasan untuk meningkatkan kadar pinjaman semalaman atau OPR untuk tiga kali berturut-turut, ia tetap meninggalkan kesan yang perit buat semua peminjam, samada pinjaman perseorangan atau perniagaan.

Ujarnya, nilai ringgit yang runtuh sehingga ke paras tukaran 1USD bersamaan dengan RM4.50 adalah paling buruk dalam sejarah Malaysia.

“Menteri Kewangan jangan hanya boleh tersenyum dan berkuliah. Kedua-dua faktor ini; iaitu OPR dan nilai ringgit saling memburukkan lagi angka inflasi dan bebanan kewangan rakyat.

“Tidak ada langkah-langkah yang agresif dan bermakna daripada Menteri Kewangan untuk membantu PMKS dan rakyat jelata dengan kenaikan OPR dan kejatuhan nilai ringgit,” tambahnya. – MalaysiaGazette