Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada Program Keluarga Malaysia @ Cuci KL di Badan Baru Seri Petaling, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan beliau hanya memberikan namanya seorang sebagai calon bagi kerusi Parlimen Arau untuk Pilihan Raya Umum ke-15 PRU15).

Shahidan berkata, beliau telah menyerahkan nama tersebut kepada kepimpinan UMNO dipertimbangkan.

Menurut Shahidan, beliau berhasrat untuk mempertahankan kerusi yang mula disandangnya pada 1986 itu sehingga kini sekiranya dicalonkan semula.

“Nampaknya buat masa ini seorang sahajalah. Insya-Allah kalau dicalonkan.

“Sudah hantar. Proses dia kita hantar nama dan kemudian dia akan buat pemilihan.

“Kalau dekat dengan pilihan raya tentulah itu menjadi tekanan. Tapi pilihan raya belum tahu lagi jadi kita hantar ikut proses biasalah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Shahidan ditemui selepas merasmikan Program Keluarga Malaysia @Cuci anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan Raden Anum 4, Sri Petaling di sini hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengutip sampah menggunakan alat penyepit pada Program Keluarga Malaysia @ Cuci KL di Badan Baru Seri Petaling, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 SEPTEMBER 2022.

Beliau mendedahkan terdapat beberapa individu turut mahu bertanding di kerusi yang disandangnya itu.

Menurut Shahidan, beliau tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan kerusi tersebut malah bersedia untuk menanggung perbelanjaan kempen calon terbabit untuk memastikan UMNO memperoleh kemenangan pada PRU-15.

Bagaimanapun dia menegaskan, calon terbabit perlulah menunjukkan sikap yang baik dan tidak mengeji orang lain hanya semata-mata untuk menonjolkan diri sendiri.

Calon itu juga katanya, perlu turun ke bawah beramah mesra dengan pemimpin yang ada dan menemui semua ahli akar umbi dan penyokong.

“Dan ada beberapa pihak berasa nakkan kerusi Parlimen Arau itu boleh. Tapi dengan syarat bila kita nakkan kerusi, kita maki orang itu bukan caranya. Kalau hendakan kerusi itu turun ke padang, kawan baik dengan pemimpin. Bekerjasama.

“Orang-orang yang dicalonkan itu, dia tidak perlu bimbang. Perbelanjaan saya akan tanggung. Yang paling penting dia turun ke pandang. Yang saya hendak parti ini menang.

“Bukan kita nak satu perkara (jawatan) itu, oh aku nak bertanding, lepas itu (kata) semua orang lain tak berguna, tidak ada sumbangan di dalam parti,” kata Shahidan.

Shahidan mendakwa, terdapat antara mereka yang mahukan jawatan tetapi dalam masa yang sama mewujudkan permusuhan dengan ahli parti yang lain.

Menurutnya, permusuhan tidak sesuai diwujudkan di Parlimen Arau yang mempunyai lima Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

“Setengah orang yang hendak jawatan itu langsung tidak berguna di dalam parti. Yang dia tahu wujudkan permusuhan.

“Menggerakkan permusuhan tidak sesuai di Parlimen Arau. Parlimen Arau ini adalah parlimen perpaduan,” kata bekas Menteri Besar Perlis itu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast