SEREMBAN – Kerajaan tidak perlu terburu-buru untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika musim
tengkujuh yang diramal berlaku pada November ini.
Ini kerana, kerajaan yang ditadbir menerusi tiga parti iaitu Barisan Nasional (BN), Pas dan juga Perikatan Nasional (PN) mempunyai tempoh pemerintahan sehingga Julai tahun depan, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Menurut beliau, Perdana Menteri perlu memberi keselesaan kepada rakyat kerana jika PRU diadakan ketika musim banjir ia akan menyusahkan banyak pihak terutama rakyat.
“PRU ini memang hak perdana menteri, hak Kabinet. Tapi consider lah juga kepada rakyat yang dah susah menderita dalam musim banjir, tentu perbelanjaan akan lebih banyak dalam kalangan rakyat dan SPR itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas Konvenysen Nasional Parti Amanah 2022, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa Barisan Nasional (BN) sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan tahun ini.
Semasa majlis pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, sekiranya Perdana Menteri tetap membubarkan Parlimen ketika musim tengkujuh pembangkang tidak mempunyai pilihan selain bersedia menghadapinya.
“Kalau mereka bubar kami terpaksa terlibatlah, itu persediaan daripada sekarang
“Tengok dalam konvensyen ini pun dah mulai pulih… cuma kita nak berdepan rakyat nak turun ke bawah tu kita kena secepat mungkinlah sebab mereka terdesak mereka (kerajaan) boleh buat di musim banjir,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan, kerajaan tidak berhati perut sekiranya tetap mengadakan PRU ketika musim banjir.
Katanya, mereka boleh menggunakan kemudahan jentera kerajaan untuk berdepan pilihan raya sedangkan pembangkang tidak memiliki semua itu.
“Sebab kalau banjir bukan dia yang susah, dia ada bot dia ada polis, dia ada bomba, ada helikopter dan sebagainya…tapi, rakyat yang kena banjir rumah mereka, kemusnahan yang berlaku perabot yang hilang, bencana yang menimpa waktu banjir tu tiba-tiba dibuat pilihan raya.
“Kalau dibuat ketika itu harap rakyat dapat tolaklah, tak kasihan langsung, tiada simpati kepada rakyat. Janganlah buat macam itu,” ujarnya.
Menurut Salahuddin, parti-parti dalam kerajaan juga perlu menghormati memorandum persefahaman (MOU) yang telahpun ditandatangani yang mana pembangkang tidak mahu mengambil kuasa dan mereka boleh gunakan kesempatan itu untuk stabilkan kerajaan yang ada.
Tegasnya, Amanah mungkin akan menggunakan saluran undang-undang sama seperti amaran yang diberikan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli apabila mahu menyumbat ke penjara pemimpin kerajaan merancang untuk mengadakan pilihan raya ketika waktu banjir.
“Kita akan ikut ruang yang ada dalam Perlembagaan, kita ada peraturan ada undang-undang, kita akan tengok salah satu opsyen Rafizi itu kita boleh bersetuju untuk kita bawa kemuka pengadilan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
Memilih PH memerintah lagi menyusahkan rakyat…semua harta negara ko lelong…ekonomi jatuh teruk..lg tak ada hati perut..rakyat tak ada kerja…ko beli banglo rasuah juta2 rakyat ko bagi 30 hinggit jaaa? mcm bangang