SEREMBAN – Parti Amanah Negara (Amanah) perlu menyahut cabaran Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.
Perwakilan Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramli berkata, Amanah bersedia untuk membenam musuh-musuh politik mereka pada bila-bila masa.
“Semalam, Pemuda Barisan Nasional mereka adakan himpunan mengatakan mereka bersedia untuk turun mengadakan pilihan raya walaupun dalam keadaan banjir.
“Saya nak beritahu kepada media yang hadir supaya kita catatkan pada hari ini, konvensyen kita pada hari ini akan turun pada bila-bila masa untuk membenam UMNO, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional pada PRU akan datang,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan usul kenaikan harga barang pada Konvensyen Nasional 2022, Parti Amanah Negara (Amanah), di sini, hari ini.
Semalam, ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN, di Stadium Titiwangsa, Ahmad Zahid menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata.
Katanya, ia adalah berdasarkan laungan ‘Bubar’ oleh lebih 10,000 pemuda BN yang bergema pada majlis yang dihadirinya itu.
Tambah Ahmad Zahid, susulan isyarat yang jelas itu pihaknya berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat menetapkan tarikh pembubaran Parlimen dalam masa terdekat ini.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi peringatan sekiranya PRU15 dilaksanakan pada pertengahan November, terdapat kemungkinan banjir besar berlaku kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.
Dalam pada itu, Mohd Fadzli berkata, rakyat tidak lagi mudah tertipu dengan politik retorik yang menabur pelbagai janji-janji.
Tambah beliau, Pakatan Harapan (PH) mampu menangani situasi yang sukar dialami oleh rakyat ketika ini.
Ujarnya, dengan usul yang dibawakan negeri-negeri yang ditadbir oleh PH perlu menunjukkan prestasi yang cemerlang dan bukannya prestasi biasa sahaja.
‘Sekarang ini bukanlah waktu kempen untuk kita janji lisan, janji-janji mulut. Janji-janji ini dah ketinggalan zaman.
“Jadi, sebelum kita nak lawan UMNO, kita mesti menunjukkan kepada rakyat di luar sana bahawa secara praktikal kita memiliki suatu kebolehan yang ohsem bahawa kita memiliki kualiti prestasi pentadbiran yang tinggi untuk membantu rakyat dan bukan bersifat semabng teori semata-mata,” tambahnya. – MalaysiaGazette
Aiyooo kalau dgr Amanah mmg bergegar lah langit…hellooo bro…mau kencing lagi kaaa??? haaa