hasbie muda pemuda amanah
Mohd. Hasbie Muda ketika menyampaikan pidato Ketua Pemuda pada Konvensyen Pemuda Amanah Nasional Tahun 2022 di Palm Seremban Hotel, Negeri Sembilan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 SEPTEMBER 2022.

SEREMBAN – Pemuda Amanah hari ini ‘bertukar nada’ apabila menyerah kepada kepimpinan parti untuk menentukan kerusi bagi sayap itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketuanya, Mohd. Hasbie Muda berkata, mereka tahu mengukur baju dibadan sendiri dan niat untuk tidak menuntut kuota bagi sayapnya telah tersemat di hati sejak beliau dilantik sebagai ketua pemuda.

Menurutnya, Pemuda bersedia walau diberi kerusi ‘gred E’ sekalipun dan tetap akan bertanding kerana mereka sememangnya pernah mencatur diri pada pilihan raya yang diadakan sebelum ini.

“Saya sebenarnya tak gemar hendak bercakap berkenaan hendak menuntut kerusi sebab niat saya dari awal jadi Ketua Pemuda saya sebut kita tidak akan bercakap soal kuota kepada Pemuda kerana kita pun tahu mengukur baju dibadan sendiri. Kita juga tahu merit dan kualiti yang lebih penting.

“Tetapi, isu yang lebih besar daripada ucapan dan perbahasan Pemuda ialah bagaimana kita nak bawa parti menjadi menarik di kalangan masyarakat dan pengundi di luar sana,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Konvensyen Nasional 2022, Parti Amanah, di sini hari ini.

Kelmarin, Mohd Hasbie ketika menyampaikan pidato Ketua Pemuda pada Konvensyen tersebut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan parti yang dilihat lebih terbuka untuk melepaskan kerusi ‘gred A’ kepada calon-calon muda daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Beliau dilapor berkata, pada masa sama, sayap Pemuda Amanah sendiri diberi kerusi ‘khidmat nasional’ dengan alasan ‘menebas lalang.

Katanya, tidak wajar menjadikan Pemuda Amanah ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Dalam pada itu Mohd Hasbie dilihat menuding jari kepada media di atas laporan mengenai perkara tersebut.

“Saya nak sentuh soal Muda. Media mungkin ada yang silap pusing sedikit.

“Kita sebut bukan kita benci Muda, tidak. Bukan kita tak setuju Muda jadi komponen strategik kepada Pakatan Harapan, tidak.

“Saya nak sebut bahawa Pemuda Amanah adalah sayap yang kuat menyokong Muda untuk bersama-sama menyertai kita,” ujarnya.

Bagaimanapun, secara sinis Mohd Hasbie memberikan pesan kepada pimpinan agar tidak menganaktirikan peranan Pemuda.

“Kita mesti bersama, tetapi, mesej kita janganlah anak jiran itu lebih diberikan ruang berbanding anak sendiri, sebab anak-anak muda dalam parti ini adalah mereka yang mempercayai kepimpinan. – MalaysiaGazette

Pemuda Amanah kecewa parti lepaskan kerusi ‘gred A’ kepada MUDA