Nurhafizah Jamalludin

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Putra Malaysia menyambut baik desakan beberapa parti politik agar Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dibubarkan.

Ketuanya, Nurhafizah Jamalludin berkata, pihaknya melihat pasukan itu gagal dalam menjalankan fungsinya menangani isu kenaikan kadar inflasi yang semakin membimbangkan ketika ini.

Beliau berkata, pasukan yang diketuai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa itu juga dilihat tidak mampu memainkan peranannya dalam menangani isu kenaikan harga barang yang memberi impak kepada rakyat berpendapatan rendah.

“Gesaan supaya pasukan ini dibubarkan sangat wajar sekali, sementelah pula dakwaan Annuar bahawa pasukannya tidak boleh mencampuri Dasar Monetari Negara dalam pelaksanaan dasar menangani inflasi bank.

“Ini secara terang memperlihatkan ketidakcekapan dan kelemahan pasukan tersebut dalam memainkan peranan penubuhannya secara menyeluruh.

“Justeru, tiada keperluan untuk kerajaan terus mengekalkan kewujudannya yang dilihat sebagai satu lagi pembaziran sumber hasil negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Nurhafizah, Malaysia mengalami fasa kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali dalam tempoh empat bulan tahun ini, bermula kenaikan 2 peratus pada Mei, diikuti kenaikan kedua 2.25 peratus (Julai) dan terkini 2.5 peratus sebagai mana diumumkan Bank Negara Malaysia pada 8 September lalu.

Malah, katanya, nilai ringgit juga terus menyusut jatuh ke paras rendah, yang memperlihatkan ketidaktentuan ekonomi negara dalam fasa pemulihan selepas negara dilanda Covid-19.

“Ini pastinya memberi kesan terhadap nilai import, eksport, kadar tukaran mata wang asing dan paras hutang negara.

“Lebih memburukkan keadaan apabila MIDF Research turut melaporkan, kadar inflasi makanan mencapai paras tertinggi dalam sejarah iaitu 6.9 peratus berbanding pada tempoh Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk kerajaan iaitu 2.6 peratus yang jauh lebih rendah dari sekarang.

“Kadar inflasi utama negara juga naik dari 3.4 peratus sehingga 4.4 peratus pada Julai lalu dengan semua kenaikan itu memberi kesan berbeza kepada rakyat amnya,” kata beliau.

Menurut beliau, apa yang dilihat lemah adalah pendekatan dilakukan kerajaan melalui BNM dalam melaksanakan dasar atau polisi yang lebih proaktif bagi memperkasa ekonomi Malaysia secara strategik, selain mengekang tindakan bersifat populis demi kepentingan pihak tertentu sahaja.

“Annuar jangan cakap banyak atau cuba menafikan kegagalan ini. Sudah dua bulan bermesyuarat bersama jawatankuasa yang juga terdiri daripada Menteri Kewangan, namun tidak ada kelangsungan atau langkah yang lebih efektif diumumkan sejak penubuhan pasukan ini penghujung Jun lalu.

“Bubar sahaja Pasukan Khas Jihad ini dan fikir pelan tindakan lain yang lebih komprehensif untuk semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette