KUALA TERENGGANU – Deretan 12 buah rumah kedai termasuk sebuah kedai emas di Jalan Kampung Cina di sini, musnah dalam kebakaran malam ini.
Pemilik Kedai Emas Seri Cahaya Mohd Ridzuan Mohd Yasin, 39, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu pada 8.15 malam setelah dimaklumkan oleh rakannya.
“Saya tutup kedai 5 petang tadi dan pulang ke rumah di Hiliran (di sini)… Selepas tahu kedai terbakar saya bergegas ke kedai tapi masa sampai api dah marak dan bomba tak benarkan saya masuk.
“Saya tak sempat nak selamatkan apa-apa dan tak tahu setakat mana tahap kerosakan barang kemas yang ada dalam kedai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.
Katanya, kedai milik keluarganya itu telah beroperasi sejak 25 tahun lepas dan terdapat peti besi untuk menyimpan stok barangan kemas selain beberapa mesin dan peralatan pertukangan emas.
Menurut Mohd Ridzuan, dia dimaklumkan kebakaran bermula dari sebuah kedai kain, menyebabkan api marak dengan cepat ke kedai bersebelahan.
Dalam kejadian itu juga, difahamkan empat keluarga yang menginap di deretan rumah kedai berkenaan tinggal sehelai sepinggang.
Seorang daripada ahli keluarga mangsa, Cham Lau Wee, 53, berkata dia yang sedang makan di medan selera berhampiran, bergegas ke tempat kejadian setelah diberitahu mengenai kebakaran itu.
“Ada empat orang keluarga tinggal di rumah keluarga (pusaka) kami ini, tapi semua tak ada di rumah masa kejadian. Abang dan kakak ipar pergi Melaka, dua lagi kakak keluar bersenam, saya tinggal di rumah berasingan di Jalan Sultan Sulaiman.
“Saya tak sempat selamatkan apa-apa termasuk tiga motosikal dalam rumah sebab masa sampai api dah besar,” katanya yang memberitahu bahawa rumah berstruktur papan berkenaan sudah didiami keluarganya lebih 60 tahun.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohd Khairiri Mat Rasad @ Arshad berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.42 malam namun pasukannya telah berada di tempat kejadian lebih awal.
Katanya, oleh kerana jarak balai bomba dari tempat kejadian hanya 800 meter dan pihaknya telah mengetahui tentang kebakaran itu daripada orang awam yang datang terus ke balai.
“Lima buah rumah kedai musnah 100 peratus, manakala selebihnya ada yang musnah 90, 50 dan ada yang hanya 30 peratus,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Beliau berkata 60 anggota dan pegawai bomba terlibat dalam operasi dengan empat jentera, dua lori tangki serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Api berjaya dikawal dalam 45 minit manakala punca kebakaran masih dalam siasatan. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya. – BERNAMA