Gambar hiasan. Foto FB Bahagian Kesihatan Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesan penyakit African Swine Fever (ASF) di dua ladang babi komersial di daerah Kerian, Perak melalui ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh pada 17 dan 18 September 2022.

Setakat ini, wabak adalah terkawal dan jangkitan hanya berlaku di daerah Kerian.

Ini kerana, pemindahan keluar babi dan produk babi dari zon pemantauan (survelan) dikawal dengan ketat.

Selain itu, DVS telah melaksanakan tindakan pelupusan segera ke atas baki populasi babi di ladang terjangkit ASF dan daya jejak ke atas kenderaan pengangkut babi yang terlibat dengan ladang yang dijangkiti.

DVS dalam kenyataannya berkata, penyakit ASF adalah tidak zoonotik (tidak berjangkit pada manusia), justeru orang ramai dinasihatkan tidak panik.

Dalam pada itu, DVS menasihatkan penternak babi, doktor veterinar swasta, penyembelih, operator rumah sembelih, penangkap babi dan orang ramai supaya melaporkan segara kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri jika berlaku kematian.

Kematian itu termasuk kes luar biasa melebihi lima ekor/hari tanpa mengira peringkat umur di ladang babi komersial; kematian luar biasa melebihi tiga ekor/lori di rumah sembelih dan sebarang tanda klinikal disyaki penyakit berjangkit di ladang babi dan rumah sembelih.

Penternak juga dinasihatkan untuk tidak menghantar babi ke rumah sembelih sekiranya ada tanda klinikal disyaki penyakit di ladang, selain kenderaan pengangkut babi mesti melalui proses disinfeksi secara
menyeluruh (tayar, kepala, semua permukaan luar dan dalam lori termasuk lantai, dinding dan bumbung) sebelum dan selepas keluar dari kawasan rumah sembelih.

Katanya, penternak dan pekerja ladang babi dinasihatkan untuk tidak melawat ladang babi yang lain bagi mengurangkan risiko jangkitan ASF.

Orang ramai juga diingatkan tidak membeli babi hidup secara terus dari ladang atau kenderaan pengangkut babi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast