KUALA LUMPUR – Gagasan penyatuan ummah yang didukung Pas berupaya membawa perubahan di Pulau Pinang setelah tiga dekad dikuasai DAP dan Pakatan Harapan (PH).
Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, perkara itu tidak mustahil sekiranya rakyat di negeri berkenaan bersatu hati menyahut seruan penyatuan ummah.
“Pulau Pinang adalah nadi utama DAP-PH dilihat menjadi ‘tikus makmal’ kepada pembangunan tidak seimbang yang sedang mereka terajui masa ini bahkan pelbagai isu berkaitan projek memberi impak negatif kepada rakyat Pulau Pinang, misalnya Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).
“Justeru, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu-Islam harus buka mata untuk melihat wajah sebenar dalang yang berselindung di sebalik topeng PH iaitu parti yang menganuti fahaman sosialis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut mengingatkan kembali tentang kemelut yang melanda negara sepanjang tempoh 22 bulan PH berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Muhammad Fauzi memberitahu, ketika itu, negara berada dalam polemik serta masalah perkauman dan Perlembagaan Persekutuan, agama Islam dan institusi raja-raja Melayu digugat.
“Rakyat Malaysia perlu matang dan bijak membuat keputusan untuk menolak PH pada PRU-15 serta tidak mudah terpengaruh dengan slogan-slogan baharu dan janji manis mereka,” jelasnya. – MalaysiaGazette