Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara 2022-2024 di Hotel Marriot, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Semua pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bertanggungjawab sekiranya kerajaan gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika kerajaan didakwa gagal menguruskan ekonomi dan negara ia bermakna Majlis Pemulihan Ekonomi Negara (MPN) yang di pengerusikan Muhyiddin juga gagal kerana majlis itu ditubuhkan untuk menjadi penasihat kepada kerajaan.

“Dari segi ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Ekonomi) ada mengurus ekonomi dan kita ada Majlis Pemulihan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Muhyiddin sendiri.

“MPN pun menasihatkan kerajaan jadi tanggungjawab itu adalah tanggungjawab bersama. Kalau gagal maknanya semua gagal.

“Semua gagal termasuk Majlis Pemulihan Ekonomi juga gagal,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Dasar Tenaga Negara 2022-2040, di sini, hari ini.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, beliau belum membaca sepenuhnya kenyataan Muhyiddin dan maksud sebenar kenyataan beliau.

“Jadi saya tidak tahu apa cerita sebenarnya dan hari ini baru tahu. Saya belum baca detail lagi (kenyataan Muhyiddin),” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) awal hari ini menyarankan Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jika gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.

“Barisan Nasional sedang menekan perdana menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan. Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak perdana menteri supaya membubar Parlimen.

“Tetapi, saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” kata Muhyiddin di laman Facebook, hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast