KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang menyebut kerajaan dominasi Melayu di Malaysia menunjukkan prestasi amat buruk dalam pentadbiran adalah bersifat sangat rasis.
Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, memberikan kenyataan seumpama itu adalah amat tidak bertanggungjawab dan boleh merosakkan perpaduan antara kaum yang telah dibina selama ini.
Katanya, umum menyedari bahawa negara Malasyia bersama negara-negara lain di dunia sedang bertarung dengan cabaran Covid-19 serta kesannya terhadap ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat.
Negara mula menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun 2022 sebanyak 8.9 peratus
(tertinggi di Asia Tenggara) yang merupakan petunjuk jelas tentang prestasi kerajaan sekarang dalam memulihkan ekonomi pasca Covid-19.
“Ini menunjukkan polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membina semula keyakinan pelabur tempatan dan luar negara bagi memulihkan ekonomi berada di landasan yang betul.
“Di samping itu, Malaysia disenaraikan tempat ketiga oleh Global Business Service (GBS) selepas India dan China dari segi khidmat perniagaan global.
“Data ini dikeluarkan oleh Konsultansi Global Kearney bagi setiap dua tahun menunjukkan kepercayaan dunia kepada khidmat perniagaan global selain banyak petanda-petanda lain yang menunjukkan proses pemulihan yang positif dan kembali kepada potensi sebenar negara dan tekad membangunkan negara serta membela nasib rakyat,” kataya menerusi kenyataan.
Tegasnya, MPN memberi amaran keras kepada Tommy untuk tidak menangguk di air keruh serta memporak perandakan kesepaduan antara kaum di negara tercinta ini dengan membuat kenyataan-kenyataan berbaur hasutan dan rasis.
Mengaitkan kerajaan pada hari ini sebagai kerajaan dominasi sesuatu kaum amat sangat tidak tepat kerana kerajaan ini didokong oleh oleh semua kaum (MCA, MIC) termasuk parti-parti pelbagai kaum daripada Sabah dan Sarawak, katanya.
Tambah beliau, rakyat negara ini yang baru sahaja menyambut ulang tahun penubuhan Malaysia merasa amat terguris dengan kenyataan politik bersifat rasis seumpama ini.
Katanya, perpaduan adalah aset masyarakat yang sangat bernilai dalam kita mengatur kehidupan bernegara demi kelangsungan dan kesejahteraan generasi kini dan masa hadapan.
“Sikap rasis seperti yang ditunjukkan oleh Tommy Thomas atau sesiapa jua harus dibantah oleh semua pihak yang cintakan kedamaian, keamanan dan kemanusiaan yang telah berjaya kita semai dan pupuk selama ini.
“Sesungguhnya keamanan dan perpaduan yang ada dalam kalangan masyarakat negara ini adalah ibarat udara segar yang dihirup tanpa sedar.
“Janganlah hendaknya ada mana-mana pihak yang mencemarkannya yang tentu akan membawa kemudaratan kepada semua,” katanya. – MalaysiaGazette