Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dr. Zulkifle Ali Al-Hafiz menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kali ke-43 Di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seramai 2, 094 graduan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) berjaya menamatkan pengajian peringkat diploma diraikan sempena Majlis Konvokesyen POLISAS ke-43 di sini hari ini.

Majlis konvokesyen diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah selama dua hari bermula pada semalam.

Pengarah POLISAS, Norehan Silek berkata, graduan yang dianugerahkan diploma kali ini merupakan kumpulan yang tamat pengajian pada sesi Disember 2020.

Sehingga kini jumlah keseluruhan siswazah yang dilahirkan POLISAS sejak 1976 seramai 57, 351 dan pada tahun ini ia melibatkan Jabatan Kejuruteraan Awam seramai 520 orang penuntut; Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (393); Jabatan Kejuruteraan Elektrik (322); Jabatan Perdagangan (557) dan Jabatan Teknologi Makanan (302).

“Majlis ini turut memberi penghargaan dan penghormatan kepada graduan yang menunjukkan dedikasi dan iltizam dalam kecemerlangan akademik dan kokurikulum menerusi Anugerah Pengarah Politeknik, Anugerah Kecemerlangan Jabatan, Anugerah Projek Terbaik, dan Anugerah Khas Industri.

“Anugerah Khas Industri merupakan sumbangan daripada pihak industri sebagai pengiktirafan kecemerlangan penuntut dalam bidang masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Yayasan Pahang juga turut memberikan penganugerahan kepada penerima-penerima anugerah kecemerlangan yang terdiri daripada anak jati negeri Pahang atau yang bermastautin di negeri ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Pengarah Urusan Binaan Desjaya Sdn. Bhd., Datuk  Abdul Rahman Daud bagi sidang pertama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Dr.  Zulkifle Ali Al-Hafiz  pada sidang kedua.

Manakala Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal & Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr.Asmadi Abdul Rahman menyempurnakan majlis pada sidang ketiga dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts. Zainab Ahmad pula pada sidang terakhir hari ini.

Bersempena dengan majlis konvokesyen kali ke-43 ini, gerai-gerai pameran dan jualan Keusahawanan juga turut dibuka bertujuan bagi menggalakkan budaya keusahawanan di kalangan pelajar-pelajar POLISAS. – MalaysiaGazette