Home Nasional Polis tembak tayar suspek samun bersenjata elak larikan diri

Polis tembak tayar suspek samun bersenjata elak larikan diri

BAYAN LEPAS – Polis menahan seorang lelaki etnik Rohingya yang terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah rumah di Gelugor pada Sabtu lalu.

Sumber berkata, bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis Bahagian Jenayah Berat (D9) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki tiga lelaki di lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara di sini, pada jam 4.30 petang semalam.

“Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan diri dengan mengundur kereta sebelum melanggar motosikal yang dinaiki oleh anggota D9 berkenaan.

Pihak polis melakukan pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki suspek yang terlibat dalam kes samun bersenjata berhampiran Setia Spice Arena, Relau, Pulau Pinang semalam.

“Bagi mempertahankan diri, pihak polis terpaksa melepaskan dua das tembakan di bahagian kiri tayar hadapan kereta yang dinaiki tiga suspek itu.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan kereta tersebut sejauh empat kilometer dari lokasi serbuan sebelum berjaya diberkas berhampiran Setia Spice Arena, Relau di sini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah sumber, suspek lelaki berusia 25 tahun itu diberkas di lokasi manakala dua lagi rakannya yang dipercayai warganegara sama masih dikesan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal mengesahkan kejadian dan tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette