Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi negara tahun ini dijangka mampu mencapai sasaran di antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini mengambil kira pencapaian separuh pertama tahun 2022 sebanyak 6.9 peratus.

Tambah beliau, beberapa petunjuk utama ekonomi negara
turut mencatatkan prestasi yang baik antaranya, Purchasing Managers’ Index (PMI) yang melepasi paras nilai ambang, iaitu 50.3 pada bulan Ogos 2022 dan jumlah jualan kenderaan penumpang dan komersial meningkat sebanyak 271.7 peratus kepada 66,614 unit pada bulan Ogos (Januari – Ogos 2022:
62.8 peratus).

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) melonjak tinggi 12.5 peratus pada Julai 2022 (Januari – Julai 2022: 6.6 peratus), nilai jualan sektor pembuatan bulan Julai 2022 meningkat 23.8 peratus atau RM148.4 bilion, tertinggi sejak Mei 2021 (Januari -Julai 2022: RM1,007.2 bilion), jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 41 peratus atau
RM130.7 bilion pada bulan Julai 2022 (Januari – Julai 2022: RM882.2 bilion); dan Jumlah ketibaan pelancong meningkat kepada 3.2 juta pelancong bagi Januari -Julai 2022.

Mengulas mengenai inflasi, beliau berkata, kenaikan harga merupakan satu fenomena global yang turut dialami
oleh kebanyakan negara.

“Inflasi Malaysia meningkat sebanyak 2.8 peratus bagi tempoh Januari-Julai 2022, selari dengan sasaran Bank Negara Malaysia, iaitu di antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus bagi tahun 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, bagi bulan Julai 2022, Malaysia mencatatkan kadar inflasi sebanyak 4.4 peratus, lebih rendah berbanding United Kingdom (10.1 peratus), Zon Euro (8.9 peratus), Amerika Syarikat (8.5 peratus), Thailand (7.6 peratus), Singapura (7.0 peratus), Filipina (6.4 peratus), Korea Selatan (6.3 peratus) dan Indonesia (4.9 peratus).

Katanya, kadar peningkatan harga lebih rendah di Malaysia adalah hasil daripada pelbagai langkah dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan seperti mengekalkan subsidi, menetapkan harga siling bagi beberapa barangan, meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan di sempadan dan menubuhkan Pasukan Jihad Tangani Inflasi. – MalaysiaGazette