Superintendan Zaiham Mohd Kahar

BENTONG – Polis mengesahkan tiada sebarang laporan dibuat berhubung kes penculikan kanak-kanak yang didakwa berlaku di Genting Highlands seperti tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya hanya menerima laporan berhubung sebuah video berdurasi satu minit 20 saat yang dilaporkan oleh pihak keselamatan Genting Highlands semalam.

Terdahulu tular di media sosial bahawa seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik di kawasan peranginan itu melalui akaun TikTok milik ‘@alfitry_azmi52’ yang di muat naik di facebook Daily Traffic Report.

Menurut Zaiham, video tersebut memaparkan insiden bahawa seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik oleh seorang perempuan warganegara asing di Genting Highlands, Bentong.

“Pihak keselamatan Genting Highlands telah membuat laporan polis pada 19 September 2022 lebih kurang pukul 8.16 malam berhubung video yang telah tular.

“Polis juga mengesahkan bahawa setakat ini tidak menerima sebarang laporan polis daripada pihak yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, pihak Ibupejabat Polis Daerah Bentong akan menjalankan siasatan dan akan menghubungi pemilik akaun TikTok berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut.

Zaiham memohon kerjasama kepada semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut. – MalaysiaGazette