Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin (duduk tengah) bersama-sama Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UTeM, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar (duduk, kanan) dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi CRIM-UTeM, Prof. Dr. Zahriladha Zakaria (duduk, kiri) meraikan penerima Geran KPT di Majlis Penghargaan Penerima Geran KPT 2022 yang telah berlangsung di Auditorium Canselori, Kampus Induk UTeM baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Melaka (UTeM) menerima geran penyelidikan berjumlah RM3.9 juta bagi 37 projek  Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, geran tersebut meliputi tiga jenis geran utama iaitu Geran Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP), Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) dan Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS).

Jelasnya, geran penyelidikan terbesar diperoleh menerusi geran KKP berjumlah RM500,000 melalui projek konsortium penyelidikan Green Tribo-Vehicle Consortium (GTVC) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Fadzli Abdollah dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal

Projek tersebut turut melibatkan kerjasama penyelidik dari Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Malaysia.

“UTeM berbangga dengan geran KKP yang diterima sekaligus mengiktiraf dan mengangkat kepakaran universiti ini dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan teknologi hijau,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Massila, UTeM turut menerima geran PRGS bernilai RM120,650 bagi projek penyelidikan pembangunan prototaip Upscaling and Testing a Vacuum System Integrated Open Source Fused Deposition Modeling System for Improved Printed Parts yang diketuai Prof. Madya Ts. Dr. Shajahan Maidin dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP).

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UTeM, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar dalam kenyataan sama berkata, geran FRGS bernilai RM3.3 juta bagi 35 projek penyelidikan.

Menurut beliau, nilai tertinggi bagi projek FRGS yang diperolehi ialah RM193,000 menerusi penyelidikan yang diketuai oleh Prof. Madya. Ts. Dr. Lau Kok Tee dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan.

“Tambah mengagumkan, 17 daripada penerima geran FRGS tahun ini merupakan penerima kali pertama hasil ketekunan dan inisiatif UTeM melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi (CRIM).                                                                                              “Ianya ekoran banyak menganjurkan pelbagai bengkel komprehensif dan penilaian dalaman yang konstruktif khusus bagi membantu penyelidik UTeM untuk menghasilkan proposal yang berkualiti dan berjaya dalam permohonan geran bawah dana KPT,” ulasnya. – MalaysiaGazette