asyraf tommy thomas usul undi percaya
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan agar mendedahkan segera hasil siasatan pasukan khas yang menyiasat segala dakwaan dalam buku Justice in the Wilderness yang ditulis oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendedahan itu penting bagi memastikan kepercayaan rakyat tidak sesekali terhakis terhadap badan-badan yang terlibat dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang negara seperti institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Malah yang lebih mustahak mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan perundangan negara secara keseluruhannya agar tiada pihak yang teraniaya dan menjadi mangsa kepada perpolitikan pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut membangkitkan semula lapan isu utama yang boleh mengaitkan Tommy dengan pelbagai salah lalu melibatkan integriti badan kehakiman dan sistem kedaulatan undang-undang negara.

Asyraf Wajdi memberitahu, Tommy mengaku terlibat dalam mempengaruhi pemilihan dan penetapan hakim-hakim kanan termasuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta Hakim Mahkamah Persekutuan melalui beberapa siri perbincangan beliau bersama Perdana Menteri sedangkan beliau bukan Ahli Suruhanjaya Perlantikan Hakim

Menurut beliau, perkara itu jelas melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (Akta 695) 2009.

“Berikutan pendedahan Tommy juga, siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga harus disekalikan dengan dakwaan salah laku kehakiman yang terkandung dalam afidavit yang difailkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer pada tahun 2019 sebagaimana desakan yang sama dibuat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

“Pendedahan Tommy juga menzahirkan wujudnya campur tangan yang jelas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam badan pengadilan dan kehakiman. Ini jelas bertentangan dengan prinsip pengasingan kuasa sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Asyraf Wajdi menambah, Tommy melakukan pendakwaan terpilih secara tidak adil apabila beliau bertindak menggugurkan pendakwaan bahkan menarik balik kes yang sedang dibicarakan melibatkan kes rasuah Pengerusi DAP, Lim Guan Eng walaupun agensi penguatkuasaan SPRM mengakui mereka mempunyai kes terhadap bekas Menteri Kewangan itu.

“Ini tidak termasuk sejumlah besar kes-kes lain melibatkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) seperti R. Sivarasa, Rafizi Ramli, N. Surendran, Thomas Su Keong Siong, Hassan Karim dan ramai lagi.

“Tommy juga bertindak menghentikan prosiding undang-undang ke atas 12 individu termasuk dua pimpinan DAP yang didakwa menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) walaupun PDRM mempunyai kes terhadap mereka,” katanya.

Beliau mendakwa, Tommy telah melanggar Sumpah Kerahsiaan Jawatan dan Akta Rahsia Rasmi (Akta 88) 1972 dengan mendedahkan kepada umum dalam bukunya mengenai isi kandungan perbincangan dan konsultasi beliau selaku Peguam Negara bersama Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja yang diklasifikasikan sebagai sulit.

Selain itu, kata Asyraf Wajdi, Tommy mengaku bahawa beliau ‘melobi’ jawatan Peguam Negara sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013.

“Beliau juga mengakui telah mendapatkan sokongan mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang bagi jawatan ini dan memaklumkan kepada Dr. Mahathir selepas kemenangan PRU-14 pada 2018.

“Beliau juga secara langsung ataupun tidak menzahirkan kecenderungan politik beliau hingga mencairkan prinsip keadilan dalam melakukan pendakwaan terpilih bersifat politik terhadap pemimpin-pemimpin yang berbeza ideologi politik dengan beliau,” jelasnya.

Beliau menambah, Tommy juga jelas memperlekeh dan mendakwa pegawai-pegawai undang-undang yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai terlalu birokratik, makan gaji, dan tidak mempunyai komitmen, kompetensi dan semangat dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Dakwaan ini amat serius hingga mampu memberi impak negatif daripada kaca mata rakyat terhadap badan perundangan negara yang seharusnya menjadi benteng keadilan buat mereka,” jelasnya.

Asyraf turut mencadangkan agar Tommy disiasat di bawah Akta Hasutan kerana dipercayai melakukan pelbagai dakwaan yang bersifat penghinaan ke atas bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Harun Idris. – MalaysiaGazette