Abdul Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar akan mengetuai Jawatankuasa Khas yang dianggotai pelbagai agensi bagi menangani masalah warga Malaysia yang terkandas di luar negara akibat terpedaya dengan sindiket penipuan pekerjaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata, mesyuarat jemaah menteri yang memutuskan untuk mewujudkan jawatankuasa tersebut membuktikan komitmen kerajaan memastikan rakyat Malaysia dibawa pulang dengan selamat.

“Isu ini telah dibincangkan secara serius dan Kerajaan amat prihatin dengan nasib keluarga dan rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Isnin lalu, media melaporkan lima rakyat Malaysia berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air selepas terpedaya menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja.

Berikutan itu, seramai 143 orang mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan daripada 158 kes yang dilaporkan.

Sementara itu, Abdull Latiff menasihatkan warga Malaysia supaya menghubungi Kementerian Luar jika mendapat tawaran kerja di luar negara bagi memastikan kesahihan dan tidak terjebak dengan sindiket penipuan pekerjaan. – MalaysiaGazette