KUALA LUMPUR – Pertubuhan-pertubuhan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) berharap agar program Malaysian Incentive Communities Empowerment (MyIEC) diteruskan untuk tahun kedua.
Setiausaha Pertubuhan Generasi Digital Malaysia, Yuni Izwan Khairuddin berkata, inisiatif itu merupakan usaha yang baik dan ia perlu diperluaskan bagi memperkasa pertubuhan-pertubuhan di Malaysia.
“Kita mahu agar ia diteruskan lagi untuk tahun depan. Lagi baik jika peruntukan ditambah lagi dengan nilai geran juga ditingkatkan antara RM15,000 hingga RM20,000,” katanya.
Ketika membentangkan Bajet 2022 pada 29 Oktober tahun lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz berkata, MyIEC melibatkan peruntukan RM20 juta dengan pemberian geran sehingga RM10,000 diberikan kepada 2,000 pertubuhan yang berdaftar dengan JPPM dalam kategori kebajikan, sosial, keselamatan dan hak asasi.
Menurut Yuni, geran yang disalurkan itu mampu mewujudkan landskap masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai kesukarelawan yang tinggi.
Bagaimanapun, katanya, banyak pertubuhan yang masih tidak tahu mengenai geran tersebut.
“Kalau boleh kita minta pihak JPPM untuk buat lebih banyak hebahan. Elok tingkatkan lagi maklumat mengenainya,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery berpendapat, JPPM perlu menyalurkan geran tersebut hanya kepada pertubuhan yang benar-benar layak sekiranya ia diteruskan.
“JPPM sepatutnya melihat semula kriteria yang ditetapkan. Pastikan hanya pertubuhan yang aktif sahaja yang layak mendapat geran itu. Tengok betul-betul adakah pertubuhan tersebut sememangnya wujud dan aktif,” katanya. – MalaysiaGazette