Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah merujuk Datuk Seri Najib Razak ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) sejak 19 September lalu sehingga kini untuk rawatan dan pemantauan lanjut.

Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataannya berkata, bekas perdana menteri itu akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.

Mahkamah Tinggi di sini sebelum itu telah memerintahkan Najib dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setelah dimaklumkan keadaan kesihatan beliau tidak memuaskan.

Jabatan Penjara berkata, ia telah menghantar Najib ke HKL untuk rawatan oleh pakar perubatan selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara dan peruntukan di bawah akta tersebut serta United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (Mandela Rules).

Katanya, sebagai pihak berkuasa yang melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Penjara,  selain melaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan, pihaknya juga bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga.

Ia termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan. – MalaysiaGazette