chow kon yeow
Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang melantik tiga focal person pengurusan bencana di setiap daerah sebagai persiapan mengnadapi musim monsun Timur Laut yang dijangka November ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, focal person yang dilantik berperanan mengeratkan lagi jaringan kerjasama antara Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Kata beliau, sebagai persiapan mengadapi sebarang kemungkinan kerajaan negeri juga telah melaksanakan Bengkel Pengoperasian Pengurusan Bencana Negeri Pulau Pinang melibatkan semua pejabat daerah dan tanah, jabatan dan agensi di negeri Pulau Pinang dengan kerjasama pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Bengkel yang disertai oleh 70 peserta bertujuan memahami dan mempelajari kemahiran asas pengurusan bencana dengan lebih mendalam.

“Selain itu, Jabatan Kewangan Negeri telah meluluskan RM400,000 bagi tujuan pembelian, perolehan aset dan bekalan pengurusan bencana yang mana peruntukan ini akan diagihkan kepada semua pejabat daerah dan tanah mengikut permohonan,”katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Kon Yeow, kerajaan negeri juga telah menerima sumbangan 4,744 unit khemah yang mana telah diagihkan kepada semua pejabat daerah dan tanah sebagai langkah siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

“Selain itu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pasukan tindakan kecemasan (ERT) kampung/komuniti dan pertubuhan berkaitan juga telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dijadualkan pada 29 September depan dan akan membincangkan semua isu serta persediaan Monsun Timur Laut di peringkat daerah.

“Dalam mesyuarat itu semua pejabat daerah dan tanah akan melaporkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana nanti,” kata Kon Yeow. – MalaysiaGazette