PUTRAJAYA – Kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa musuh parti Islam itu adalah Pakatan Harapan (PH) dan bukannya UMNO disokong Naib Presidennya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurut Ahmad Samsuri, perkara itu telahpun dinyatakan di dalam Muktamar Pas yang diadakan baru-baru ini.
“Memang kita secara konsisten dalam Muktamar Pas pun telah disebut bahawa PH adalah lawan kita dalam pilihan raya.
“…jadi tidak ada kerjasama dengan PH, kalau ada pihak yang timbulkan untuk adakan kerjasama dengan itu kita lebih awal bagitahu bahawa tiada sebarang kerjasama dengan PH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Terengganu dengan syarikat pelaburan induk strategik kerajaan Terengganu di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri ditanya wartawan mengenai kenyataan Takiyuddin semalam apabila menegaskan musuh parti itu adalah PH dan bukannya UMNO.
Katanya, Pas akan kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai Rakan Ta’awun, sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) nanti.
Sementara itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu menegaskan, beliau secara peribadi tidak bersetuju sekiranya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan penghujung tahun ini.
Tegasnya, tidak wajar untuk mengadakan pilihan raya dengan mengheret rakyat semata-mata kerana mahu menyelesaikan masalah peribadi yang dihadapi oleh individu tertentu.
“Cukuplah kita menyusahkan rakyat terutama mengheret rakyat untuk adakan pilihan raya pada waktu banjir.
“Biarlah kita selesaikan urusan rakyat dan biar kita selesaikan urusan pendekatan ekonomi dahulu sebelum kita adakan pilihan raya.
“Sama ada mereka ini nak dengar atau tidak itu terpulanglah kepada mereka…tetapi, pada saya kita berpolitik, berpolitik juga tapi janganlah pula mengheret rakyat untuk menyelesaikan masalah peribadi kita,” ujarnya.
Sabtu lalu, semasa berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN, Pengerusi BN dan juga Presiden UMNO Datu Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.
Ahmad Zahid menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.
Bagaimanapun, kenyataan Ahmad Zahid itu mendapat reaksi pelbagai pihak terutama pemimpin pembangkang yang rata-rata menyifatkan pelaksanaan PRU pada musim banjir tidak berhati perut dan menyusahkan rakyat. – MalaysiaGazette