KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dikatakan takut dengan pengaruh laman Facebook (FB) milik bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Rafizi membuat cerita fitnah laman FB Najib diaktifkan dengan mendakwa kononnya Najib ada akses bebas ke dunia luar dan mendapat layanan umpama ‘merpati’ di dalam penjara.
“Dia gunakan WhatsApp tidak bernama jaja cerita kononnya Najib dapat layanan istimewa di hospital dan bilik penjaranya diubah suai,” katanya dalam hantaran FB miliknya hari ini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan kenyataan Rafizi yang mempersoalkan bagaimana Najib boleh membuat hantaran di FB sedangkan beliau berada di dalam penjara.
Mohd. Puad turut menuduh Rafizi sebagai hipokrit apabila menyatakan situasi di mana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimasukkan ke hospital ketika dipenjarakan dahulu berbeza dengan apa yang dihadapi oleh Najib sekarang.
“Rafizi hipokrit. Anwar duduk di Hospital Rehabilitasi Cheras selama enam bulan. Semasa di penjara dia juga boleh melawat saudara mara yang sakit dan meninggal dunia,” jelasnya.
Beliau juga mengingatkan Rafizi bahawa Najib diberi ubat yang salah, dinafikan hak masuk wad dan dihantar semula ke penjara.
“Rafizi memang takut pada FB Najib. Senanglah dia berbohong dan memfitnah,” katanya. – MalaysiaGazette