GEORGE TOWN – Agensi Nuklear Malaysia berkolaborasi dengan Kementerian Pendidikan (KPM) membangunkan satu silibus pada peringkat sekolah sehingga tahap pengajian tinggi yang memfokuskan aspek penggunaan teknologi nuklear.
Ketua Pengarahnya, Dr. Abdul Rahim Harun berkata, kolaborasi itu dilakukan untuk memberi pendedahan kepada pelajar dalam menyediakan silibus bersesuaian bagi menerangkan peranan teknologi nuklear dalam kehidupan seharian.
“Sudah diajar di sekolah misalnya berkenaan radiasi penggunaan nuklear dalam pelbagai bidang industri pembuatan, perubatan, pertanian selain agensi turut dijadikan rujukan dalam menambah pengetahuan berhubung teknologi tersebut dalam silibus pengajaran dan pembelajaran peringkat tinggi.
“Cuma pada peringkat sekolah belum ada subjek spesifik mengenai nuklear dan ia merupakan tambahan kepada pengisian mata pelajaran Fizik tetapi silibus pengisian nuklear termasuk pendedahan secara asas untuk murid sekolah rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sinaran Tidak Mengion di hotel Bayview George Town hari ini.
Tambah Abdul Rahim, pemahaman orang ramai mengenai teknologi nuklear masih rendah khususnya pendapat yang hanya mengaitkan teknologi nuklear dengan bahan letupan secara amnya.
Jelas beliau, keperluan teknologi nuklear dalam bidang pembuatan, pertanian dan kesihatan menunjukkan kesan positif yang memberangsangkan.
“Selama ini persepsi masyarakat bila dengar nuklear, dia kata benda yang bahaya misalnya seperti bom, senjata nuklear, kalau kita tengok menakutkan tapi sebenarnya dalam kaji nuklear ini kita boleh bagi manfaat kepada masyarakat.
“Namun persepsi masyarakat bertambah baik kerana kita sentiasa memberi kesedaran mengenai manfaat teknologi nuklear misalnya dalam bidang pertanian kita telah keluarkan varieti padi mutan IS21 yang kini digunakan lebih 30,000 petani sejak dilancarkan November tahun lalu,” katanya. – MalaysiaGazette