KUALA LUMPUR – Rezeki pempengaruh dan usahawan, Siti Jamumall terus bertambah apabila kini berjaya memiliki kediaman pertama jenis kondominium yang mencecah harga kira-kira RM1 juta di Setia Alam, Selangor.
Awal bulan ini, dia mendapat hadiah sebuah kereta mewah Lamborghini Hurucan bernilai RM1.5 juta kerana berjaya mencatat jualan produk Mommy Hana lebih RM1 juta yang dibuat secara langsung di TikTok.
Kejayaan tersebut menjadi lebih istimewa dan bermakna kerana dia juga menjaga abangnya yang juga orang kelainan upaya (OKU), Mohd Khairul Nizam Wahiddin, 33, selama ini.
Siti Jamumall, 23, atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin berkata, dia mempunyai impian besar ingin membantu keluarga selain mahu membina jenama perniagaan sendiri.
“Saya boleh cakap, pelajaran itu bukanlah tidak penting tapi kena tahu sebab saya tidak ambil Sijil Pelajaran Malaysia sebelum ini sebaliknya memutuskan untuk sambung belajar dalam bidang bisnes dengan mentor saya,” katanya.
Momen bermakna itu turut dikongsikan Siti Jamumall menerusi akaun TikTok miliknya.
Beliau sebelum ini mengorbankan SPM apabila terpaksa menemami abangnya itu ke Jepun untuk mengikuti kursus perniagaan iaitu dua hari sebelum peperiksaaan berlangsung.
Berkongsi lanjut mengenai perjalanan jatuh bangun bersama Mohd khairul Nizam, Siti Jamumall mendedahkan syarikat abangnya sebelum ini pernah berhutang hampir RM1 juta.
“Hampir RM1 juta hutang syarikat yang perlu ditanggung dengan abang yang tidak bergaji hampir enam bulan.
“Saya kasihan dan dalam hati niat cuma satu saja, saya nak tolong abang dan kalau boleh untuk bantu keluarga juga. Niat saya ikhlas sebab saya berpegang kepada prinsip diri. Bila balik kami tiak mampu nak buat iklan berbayar, kami buatlah live sebab percuma.
“Saya buat setiap hari secara konsisten dan alhamdulillah masuk tiga bulan dapat bina nama dan sudah ada jualan. Jadi, dari situ dapat selesaikan segala hutang.
Lebih membanggakan, dia secara tidak langsung telah berjaya membantu ramai peniaga bumiputera.
“Sejak melancarkan produk terbaharu di bawah jenama Whitekish O2 Bubble, alhamdulillah saya berjaya membantu affiliate yang tidak perlu mengeluarkan sebarang modal pun dan mereka berjaya mendapat RM30,000 dalam masa dua hari,” katanya. – MalaysiaGazette