Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bercakap kepada media mengenai Mesyuarat Armada Bersatu membabitkan kesiapsiagaan PRU15 ketika di bu Pejabat Perikatan Nasional, Publika, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan sesekali berundur dari mana-mana kerusi Parlimen mahupun DUN sekiranya terpaksa bertembung dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, meskipun keputusan itu tidak direstui rakan komponen Perikatan Nasional (PN), parti itu tetap akan pertahankan kerusi terbabit.

“Kalau dipaksa bertembung dengan BN, kita hadap, kita takkan tarik handbrake.

“Kerusi-kerusi yang telah kita menang dan kerusi-kerusi itu pernah bersama BN sebelum ini yang berhijrah kepada Bersatu, kita akan pertahankan.

“Ini termasuk Larut dan Masjid Tanah, kita tidak akan berganjak dari situ,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PN di Sri Hartamas, di sini, hari ini.

Selasa lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa parti Islam itu tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh dalam PRU15 akan datang.

Sebaliknya Pas tetap menegaskan bahawa musuh sebenar penyatuan ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya termasuk khemah besar.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, walaupun parti komponen PN boleh berbeza pandangan, namun Bersatu bertegas tidak akan berganjak dari kerusi yang dimilikinya sekarang.

“Kita bersetuju dengan pandangan Pas bahawa PH adalah salah satu musuh atau lawan politik kami dalam PRU15.

“Kita menghormati pendirian Pas, pada masa sama kita juga tidak akan berganjak kalau pertembungan itu berlaku terhadap Bersatu dengan BN, kita tetap akan lawan,” katanya.

Malah katanya, Bersatu sedia berdepan dengan pertandingan empat penjuru jika kerusi parti itu terus diintai parti musuh.

“Kita perlu bersedia dari segi semua sudut termasuk bertembung dengan BN, PH dan GTA malah Warisan yang mungkin juga akan bertanding di Semenanjung,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast