Remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella hadir ke mahkamah bagi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Lebih setahun yang lalu ketika video dan gambarnya tular di media sosial, remaja kurang upaya Bella kelihatan amat menyedihkan.

Luka parah yang dialami amat menyayat hati dengan kesan lecur, berdarah dan berlendir di tangan. Badan yang kurus dan kepalanya yang hampir botak turut mempunyai kesan lecur dan cedera.

Wajahnya pada waktu itu penuh ketakutan, sedih dan tiada langsung senyuman. Tanda dia bukan sahaja cedera secara fizikal tetapi juga emosi.

Hari ini selepas berbulan-bulan peristiwa itu berlaku Bella muncul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bak seorang puteri.

Dia memakai baju watak kegemarannya Princess Elsa dalam filem animasi Frozen.

Remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella hadir ke mahkamah bagi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 SEPTEMBER 2022.

Bella tampil memegang magic stick, memakai gaun biru bermanik mutiara, bersarung tangan biru dan tiara di atas kepala yang bertudung biru, membuatkan gadis itu kelihatan manis.

Dia tersenyum riang kepada orang ramai yang melihat dan melambai ke arah mereka.

Bella telah berubah daripada seorang remaja yang ketakutan kepada gadis yang ceria.

Seorang aktivis, Mona Din yang mengikuti dan memperjuangkan kes Bella, menyifatkan kehadiran Bella bak puteri itu sebagai hari yang sangat manis.

“Dan masa tu sebaik saya angkat muka tengok luar, kelihatan seorang princess sedang berjalan masuk. Adik Bella.

“Oh subhanallah, Bella pakai crown dengan gaun Frozen animasi kesukaannya. Akhirnya, bukan hanya dapat melihat Bella tetapi juga mendekatinya. Menyerahkan sendiri sepasang kurung pink itu kepadanya, memeluknya, mencium lembut pipinya.

“Sungguh saya menahan air mata. Keep strong Bella. Auntie sayang Bella. Hanya itu yang sempat saya bisikkan kepada Bella,” kata Mona Din di Facebook beliau. Aktivis itu mempunyai seorang anak istimewa seperti Bella.

Remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella hadir ke mahkamah bagi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 SEPTEMBER 2022.

Rata-rata pengikut Facebook Mona Din berasa gembira dengan penampilan Bella.

“Berbeza gila raut wajah Bella di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat berbanding dengan jagaan b*nt*l. Muka dia, senyum dia berseri-seri,” kata Nurul Shuhada Md. Din.

“Berisi, kulit bersih, gembira. Ini baru menepati istilah dijaga dengan penuh kasih sayang,” komen Rara Ghaz.

“Alhamdulillah. Bella makin cantik bila berisi. Macam tu lah bila ada orang yang betul menjaga dengan ikhlas,” kata Mimi Hzrn.

Bella, 13, yang didakwa menjadi mangsa mangsa pengabaian dan penganiayaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hadir ke mahkamah sebagai saksi pendakwaan.

Prosiding membabitkan saksi pendakwaan ke-18 itu dibuat secara tertutup dan hanya boleh dilihat hakim, pihak pendakwaan dan peguam melalui rangkaian secara langsung.

Bella ditempatkan dalam sebuah bilik dengan ditemani seorang perantara yang juga doktor psikilogi dari Jabatan Peguam Negara dan seorang peneman dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang prosiding dijalankan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas memohon supaya perbicaraan kes dijalankan secara tertutup memandangkan saksi adalah mangsa dalam kes berkenaan.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast