Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI – Seorang pekerja kilang ditahan semalam selepas dipercayai mendera anak lelakinya yang berusia tujuh tahun di Taman Desa Jaya, di sini, sejak dua bulan lalu.

Tindakan suspek berusia 29 tahun itu terbongkar selepas mangsa itu sering memakai jaket di dalam kelas bagi menutup kesan kecederaan akibat didera.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kecederaan pada tubuh mangsa disedari guru kelas sebelum memaklumkan kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) sebuah sekolah kebangsaan jenis Cina di sini.

Menurut Zaidy, hasil pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat kesan calar di seluruh badan, bengkak di siku, luka di bahagian telinga sebelah kiri dan terdapat kesan lebam-lebam dan kesan bibir terkoyak disyaki dipukul.

“Berdasarkan laporan perubatan awal mangsa menunjukkan terdapat kesan lebam baru dan lama di bahagian kepala, leher serta badan. Malah, pihak hospital mengesahkan ia merupakan kesan dera,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa tinggal bersama bapa serta ibu tirinya sejak setahun lalu dan sebelum ini menetap bersama neneknya di Tanjung Dawai.

“Suspek turut mengaku memukul mangsa menggunakan rotan dan batang penyapu sejak dua bulan lalu dengan alasan kanak-kanak itu hiperaktif.

“Suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula hari ini dan mangsa dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. – MalaysiaGazette