Aliran air warna hitam memasuki paya bakau dipercayai dari kolam takungan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal (TPS) Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

NIBONG TEBAL – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menjalankan siasatan berhubung pelepasan air larut resapan (leachate) dari kolam takungan di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal (TPS) Pulau Burung, Fasa 1.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pelepasan itu disedari penduduk sekitar pada Selasa lalu selepas mendapati terdapat aliran air berwarna hitam memasuki kawasan paya bakau bersebelahan sebelum memasuki laut.

Sharifah Zakiah (kanan) turut hadir bagi melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Kata beliau, JAS bergegas ke tapak berkenaan bagi menjalankan siasatan selepas menerima aduan daripada penduduk dan mendapati pelepasan itu dipercayai berlaku beberapa jam sebelum aduan diterima.

“Hasil siasatan mendapati terdapat beberapa batang paip telah dipasang oleh pihak tertentu bagi tujuan menyalurkan sisa air larut resap (leachate) ke dalam kawasan rizab paya bakau.

“Kita juga lakukan pemeriksaan fizikal di tapak tersebut manakala sampel-sampel yang diambil dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisis.

“Selain itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Nibong Tebal untuk siasatan sama ada terdapat unsur khianat oleh pihak tertentu dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah beliau, berdasarkan maklumat awal dan keterangan saksi-saksi, pelepasan air larut resapan ini kemungkinan dibuat secara sengaja dan dirancang lebih awal kerana batang-batang paip telah dibawa masuk, dipasang dan dikambuskan.

Batang paip batu dipasang dan dikambus antara yang ditemui di lokasi.

“Kita akan mengeluarkan satu notis arahan kepada pemilik tapak iaitu pihak berkuasa tempatan berkaitan untuk meningkatkan pemantauan keselamatan serta kawalan pencemaran ditapak.

“Mana-mana premis yang tertakluk di bawah Perintah EIA dan didapati gagal mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 boleh dikenakan Arahan Berhenti Kerja,” tegas Sharifah Zakiah. – MalaysiaGazette