KWSP UMNO
Asyraf Wajdi Dusuki menerima usul pengeluaran caruman KWSP yang disampaikan oleh Azmi Mohd. Tahir di Pejabat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi membincangkan tentang pengeluaran caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun ekonomi negara semakin pulih, kadar inflasi agak tinggi dan ramai rakyat yang masih hilang pekerjaan.

Menurut beliau, sebahagian pekerja pula tidak menerima gaji yang setara dengan tahap pendidikan dan kemahiran mereka.

“Mudah-mudahan kita nak dengar juga kekangan dan perancangan kerajaan. Kita tak boleh selamanya mengharapkan KWSP sebagai jalan pintas untuk kita menyelesaikan apa juga kemelut dan kesengsaraan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Selangor (PGIR) di pejabatnya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PGIR, Azmi Mohd. Tahir.

Asyraf Wajdi turut memaklumkan seramai 226,996 pengadu memberi maklumbalas kepada PGIR berhubung permohonan pengeluaran KWSP kali ini.

Sementara itu, Azmi berkata, PGIR mengemukakan empat usul tuntutan pengeluaran KWSP yang turut merangkumi golongan suri rumah dan ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak lagi aktif mencarum.

Selain itu, menurut beliau, pengeluaran tersebut turut dicadangkan kepada bekas pekerja swasta yang tidak lagi mencarum kerana diberhentikan kerja termasuk secara sukarela.

“Pencarum yang masih aktif mencarum berusia 54 tahun dan ke bawah yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 melebihi RM20,000 dibenar mengeluarkan 30 peratus mengikut keperluan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Manakala pencarum yang masih aktif mencarum yang mempunyai baki simpanan di Akaun 1 RM19,999.99 dan ke bawah dibenar mengeluarkan keseluruhan simpanan dan meninggalkan baki sebanyak RM200 dalam Akaun 1 & 2,” jelasnya. – MalaysiaGazette