Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbual bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Tindakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin ‘menyerang’ Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob baru-baru ini membuktikan kerajaan yang ada sekarang tidak stabil.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketidakstabilan yang wujud akan menyulitkan kerajaan untuk berfungsi sebagai sebuah pasukan dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang.

Ketidakstabilan berkenaan akan memperjudikan nasib serta masa depan rakyat dan negara kerana pembuat dasar saling tidak mempunyai kesefahaman antara satu sama lain.

Menurut Ahmad Zahid, ketidakstabilan dalam kerajaan membuktikan desakan UMNO supaya ia dipulihkan dengan segera adalah betul.

“Pentadbiran kerajaan saling tuduh menuduh memberi gambaran negatif kepada pelabur sekali gus menyukarkan usaha negara bangkit daripada kemusnahan pandemik.

“Justeru, rakyat seharusnya semakin boleh menilai tentang kebenaran yang dibangkitkan UMNO mengenai ketidakstabilan yang wajib dipulihkan.

“Ia amat mustahak direalisasikan segera kerana sebuah kerajaan yang kukuh sangat diperlukan bagi mendepani risiko kemelesetan ekonomi dunia yang diramalkan tahun depan,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Ahmad Zahid menegaskan, Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN sepatutnya menyedari kenyataan negatif yang dikeluarkan oleh beliau akan memberi kesan terhadap prestasi kerajaan di mata dunia.

Katanya, bagaimana pelabur asing boleh meyakini Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan apabila Pengerusi MPN menyatakan yang buruk tentang kerajaan yang beliau sendiri berada didalamnya.

Tambahan menurut Ahmad Zahid, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tidak menolak kemungkinan kemelesetan ekonomi global akan berlaku pada tahun 2023.

“Kemelesetan ekonomi global jika terjadi dan gagal diuruskan dengan berkesan boleh mengundang implikasi besar kepada kemaslahatan rakyat keseluruhannya.

“Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyerang Perdana Menteri juga berbaur sabotaj terhadap kerajaan campuran Keluarga Malaysia.

“Sebagai Pengerusi MPN, beliau sepatutnya tahu kenyataan negatifnya akan memberi kesan terhadap prestasi kerajaan di mata dunia,” kata Presiden UMNO itu.

Sementara itu Ahmad Zahid meminta Muhyiddin melihat diri sendiri sendiri apabila menggambarkan Ismail Sabri sebagai gagal.

Beliau mendakwa, negara berdepan kegagalan teruk semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri.

“Seramai 10,317 individu diisytihar muflis mulai Mac 2020 dan sebanyak 37,415 perniagaan ‘gulung tikar’ berikutan terkesan akibat pandemik Covid-19. Proses pemulihan ekonomi negara pasca pandemik malah berjalan pada kadar yang perlahan semasa negara mempunyai sebuah badan yang diketuai beliau untuk memulihkan negara.

“Ironinya, Pengerusi MPN merangkap Pengerusi PN juga merupakan sebahagian anggota Kabinet kerajaan PH ketika itu. Apakah individu yang pernah gagal berkali-kali layak menuduh individu lain sebagai gagal jua?” tanya Ahmad Zahid.

Muhyiddin baru-baru ini secara terbuka membidas kepemimpinan Ismail Sabri yang dilihatnya tidak memandang semua isu membelenggu negara ketika ini termasuk inflasi, kekurangan tenaga kerja dan kemerosotan nilai ringgit sebagai sesuatu yang penting. – MalaysiaGazette