Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kabinet Rabu lalu ada membincangkan cadangan pembubaran Parlimen, tetapi keseluruhan agenda dalam perjumpaan itu lebih kepada kesiapsiagaan kerajaan menghadapi banjir.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beberapa faktor diambil kira sekiranya diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam musim tengkujuh.

“Faktor utama ialah mampukah pasukan keselamatan yang sama bertugas dalam dua tugasan yang besar iaitu berdepan dengan banjir dan dan pilihan raya.

“Jadi, dalam mesyuarat baru-baru ini, kita utamakan (bincang) soal banjir. Bagaimana hendak jaga keselamatan rakyat dan harta benda awam,” katanya dalam satu majlis di Terengganu, malam tadi.

Menurutnya, banyak aset kerajaan termasuk pasukan keselamatan akan dikerah membantu rakyat sekiranya berlaku banjir yang dijangka hujung tahun ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, parti itu dan Perikatan Nasional (PN) tetap bersedia bagi menghadapi kemungkinan PRU pada musim tengkujuh.

Ujarnya, jentera Pas sudah bersiap sedia menghadapi PRU pada bila-bila masa dan telah dilancarkan di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

“Begitu juga jentera pilihan raya PN sudah bersiap untuk turun padang sekiranya PRU diadakan.

Namun kata beliau, pilihan utama kerajaan sekarang adalah keselamatan rakyat apabila berlaku banjir kerana ia boleh memberi kesan lebih besar. – MalaysiaGazette