KUANTAN – Seramai 39 pelajar terdiri daripada anak-anak Pahang yang bakal melanjutkan pengajian di Jordan dan Mesir pada tahun ini menerima bantuan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (MUIP).
Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, bantuan berjumlah RM144,000 itu disalurkan menerusi skim bantuan dermasiswa khusus untuk para pelahar yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi dalam dan luar negara.
Katanya, kadar tersebut akan dinaikkan mengikut pencapaian keputusan peperiksaan sebagai tanda sokongan kepada penuntut.
“Skim dermasiswa MUIP itu merangkumi tajaan tiket penerbangan sehala dan bantuan wang tunai sebanyak RM1,200 seorang.
“Kita akan naikkan kadar skim bantuan dermasiswa di Mesir dan Jordan mengikut keputusan yang diperolehi oleh pelajar di mana semakin tinggi keputusan semakin banyak kadar bantuan yang diberikan.
“Ini bagi memberi galakan kepada penuntut untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh selain daripada menampung kos pengajian dan kos sara hidup di sana,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan rombongan pelajar tersebut dijangka berlepas ke Jordan dan Mesir pada 25 dan 28 September ini. – MalaysiaGazette