Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Rakyat di Johor Bahru kini menerima manfaat yang lebih besar apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negeri itu senada dengan kerajaan Pusat.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sebagai bukti, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersetuju meneliti cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd. Hairi Mad Shah agar sebuah klinik kesihatan baharu dibina di Kampung Kurnia.

Menurut beliau, klinik baharu tersebut akan meredakan tekanan ke atas Hospital Sultanah Amanah serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada warga Johor Bahru.

“Tahniah kepada YB Hairi kerana ini antara janji YB semasa menjadi calon BN untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tempoh hari.

“Terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Johor Bahru yang membantu YB Hairi menyambut YB KJ dalam lawatannya itu kerana ketika itu, YB Hairi berada di mesyuarat DUN,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Shahrir menambah, AJK UMNO Bahagian Johor Bahru bukan sahaja membawa permohonan Mohd. Hairi malah turut dilengkapkan dengan maklumat lokasi tapak serta lukisan arkitek.

Beliau memberitahu, cadangan pembinaan klinik kesihatan baharu ini sebahagian dari perancangan UMNO Bahagian Johor Bahru sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan berada dalam makluman kepimpinan kerajaan negeri selepas perubahan kepimpinan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kepada BN.

“Begitu jelas manfaat kepada rakyat Johor Bahru, khususnya DUN Larkin, apabila ADUNnya dari BN dan menteri juga dari BN. Belum setahun pun.

“Sudah empat tahun PH-PKR memegang jawatan Ahli Parlimen Johor Bahru tapi tahap kehidupan rakyat biasa tidak menjadi keutamaan,” katanya. – MalaysiaGazette