KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor akan mengumumkan peruntukan khas bagi menambah peralatan seperti bot, jentera dan petugas sebagai persiapan menghadapi bencana banjir yang diramal berlaku minggu depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keutamaan ketika ini adalah bagi memastikan nyawa dan kebajikan rakyat negeri itu dipelihara.
Katanya, selain itu kerajaan negeri turut akan mengadakan latihan simulasi bencana banjir.
“Kita akan berikhtiar semampunya, semoga Allah SWT memberkati usaha kita. Insya Allah.
“Kerajaan negeri juga mengadakan latihan simulasi bencana banjir selama dua hari bermula minggu hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kelmarin, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor mengeluarkan makluman sudah mengenal pasti 52 kawasan ‘hotspot’ banjir selain 307 kawasan berisiko banjir di negeri berkenaan.
Menerusi grafik, kawasan berisiko banjir dan hotspot bagi persediaan air pasang besar dan Monsun Timur Laut yang dikeluarkan baru-baru ini adalah kawasan berisiko yang ditentukan berdasarkan kekerapan kejadian bencana banjir sebelum ini. – MalaysiaGazette