Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada Majlis Sambutan Ulang tahun ke-6 Bersatu di Presint 2, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytiharkan secara terbuka Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, ahli-ahli Bersatu tidak perlu gentar dan takut terutamanya untuk menentang UMNO yang mana pemimpinnya terbukti mengaut harta rakyat.

Beliau yang Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, Bersatu mempunyai niat yang baik untuk menyelamatkan negara ini daripada membiarkan harta rakyat dirompak.

“Saya telah mengarahkan jentera parti untuk bergerak dan sebahagian sudah memulakannya.

“Bahagian Bersatu diminta meletakkan tokoh-tokoh sebagai calon parti pada PRU15.

“Calon-calon akan dinilai oleh jawatankuasa yang diketuai Datuk Radzi Jidin dan kita jangan bergaduh pasal calon,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Bersatu Ke-6 di sini hari ini.

Mengulas pendirian Pas yang berubah mengenai kerjasama dengan UMNO, Muhyiddin berkata, beliau menyerahkan kepada parti komponen PN untuk memberi sebarang kenyataan dan enggan membuat apa-apa telahan.

Namun, kata beliau, apa yang penting PN perlu bersatu pada PRU15.

“Pas beri pandangan begitu sebab belum pilihan raya. Tapi bila hampir pilihan raya, kita akan bersatu dan buat keputusan bersama.

“Ketika ini setiap parti ada kebebasan untuk buat apa hendak buat dan saya tidak boleh kata jangan itu dan ini.

“Tak apalah buat dah saya hendak tengok apa hasilnya serta adakah UMNO bersetuju dan peluk agar ada Muafakat Nasional, saya kurang pasti,” katanya. – MalaysiaGazette.