KAJANG – Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Hulu Langat hari ini turun padang bagi mengesan keluarga yang memerlukan dan layak untuk didaftarkan sebagai golongan asnaf.
Menerusi program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK), LZS menjejak kira-kira 45 buah keluarga di kariah Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota, Masjid Bandar Seri Putra dan Masjid Sungai Kembong Hilir bagi tujuan kaji selidik dan siasatan asnaf seterusnya memberikan bantuan.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, program berkenaan merupakan misi ke-25 daripada 40 yang digerakkan oleh lembaga tersebut dalam memastikan golongan asnaf dapat dijejaki dan menerima bantuan setimpal.
“Siri SJK salah satu inisiatif proaktif LZS yang sentiasa mencari dan menjejak asnaf yang layak. Kami tidak hanya menunggu mereka datang dengan usaha ini diharap kami dapat memanfaatkan bayaran zakat yang ditunaikan dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui pada program SJK, di sini, hari ini.
Selain itu katanya, LZS hari ini turut membuka pendaftaran baharu bagi asnaf yang datang ke Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota.
Jelas Sabirin, kelayakan individu yang datang ke masjid itu akan dinilai terlebih dahulu oleh amil kariah sebelum diputuskan layak menjadi penerima bantuan asnaf atau sebaliknya.
Terdahulu katanya, program SJK tahun ini mensasarkan 1,500 asnaf baharu untuk dibantu.
Tambah Sabirin, sasaran keseluruhan asnaf baharu baharu pada tahun ini pula seramai 6,000.
“Sehingga Ogos, seramai 1,500 asnaf baharu dikenalpasti,” ujarnya.
Mengulas lanjut Sabirin tidak menafikan jumlah asnaf baharu pada tahun ini akan meningkat berbanding 2021.
Menurut beliau, peningkatan berkataan didorong oleh keadaan ekonomi semasa dan pasca pandemik.
Sebagai rekod, sehingga Jun 2022 seramai 59,991 keluarga keluarga asnaf fakir dan miskin telah disantuni oleh LZS.
Daripada jumlah tersebut, 8,887 adalah keluarga asnaf di daerah Hulu Langat.
Pada program SJK hari ini, Sabirin turut menyerahkan bantuan keperluan makanan kepada asnaf-asmaf yang berdaftar di Masjid Al Taqwa.
Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Datuk Dr. Abdul Rahman Abdullah. – MalaysiaGazette