ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil penganjur Himpunan Tolak PRU Awal bertema ‘Nyawa Dulu, Baru PRU’ yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah memulakan siasatan berkaitan himpunan yang tidak mendapat kebenaran itu di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kami telah mengenalpasti penganjur himpunan dan akan panggil mereka secepat mungkin untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan kami.

“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku semasa himpunan itu diadakan dan pihaknya telah menjalankan penugasan kawalan keselamatan.

Kira-kira 50 orang yang terdiri daripada Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz merupakan antara pemimpin politik yang berucap pada perhimpunan yang menolak Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan awal. – MalaysiaGazette