DHAKA – Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan 12 lagi masih hilang selepas sebuah bot karam di sungai Karatoya di daerah Panchagarh utara Bangladesh, petang tadi.
Setakat ini hanya 12 mayat wanita, lapan kanak-kanak dan empat lelaki telah ditemui.
Penguasa polis daerah itu, SM Sirajul Huda berkata, bot tersebut dipercayai membawa kira-kira 100 orang penumpang sebelum ia karam pada jam 1.30 tengah hari tadi.
Bagaimanapun kebanyakan mangsa berjaya berenang ke darat.
“Kira-kira 10 hingga 12 yang belum ditemui,” katanya.
Operasi menyelamat sedang dijalankan dan bot itu terbalik didakwa akibat muatan berlebihan. – Agensi