Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kenyataan terbaharu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Barisan Nasional (BN) sebagai musuh gabungan itu boleh meletakkan Pas dalam dilema.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kenyataan Muhyiddin bahawa ‘BN adalah musuh PN’ bertentangan dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan ‘BN bukan musuh Pas’,

“Kenyataan bahawa ‘BN adalah musuh PN’ meletakkan Pas dalam dilema. Pas baru sahaja berusaha membina kembali jambatan yang sudah mula terbakar dengan kenyataan oleh Setiausaha Agung Pas bahawa ‘BN bukan musuh Pas”.

“Ia talian hayat kerjasama politik. Namun, ia tidak disenangi oleh setengah pihak yang akan terjejas dengan kerjasama Muafakat Nasional (MN) ini,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, MN telah melakar sejarah kesatuan kalangan umat Islam melalui dua parti politik terbesar Melayu Islam.

Kehadiran MN telah menakutkan PH untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15.

Sekiranya Pas dan UMNO bekerjasama dalam MN, sekurang-kurangnya 28 kerusi pParlimen milik PH akan hilang.

Justeru Mohd. Khairuddin berkata, tidak pelik perancangan dibuat untuk membakar jambatan MN yang menghubungkan UMNO dan Pas.

“Jambatan MN yang mula terbakar menjadikan PH bernafas kembali. Agenda untuk memecahkan MN sentiasa berjalan.

“Percikan api pertembungan antara Pas dan UMNO sangat mudah merebak. Hanya dengan sedikit minyak, api menjadi marak kerana mereka telah bertembung selama 45 tahun sejak 1978,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Muhiyiddin yang merupakan Pengerusi Bersatu menegaskan bahawa BN adalah musuh utama mereka pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.

Katanya, perkara itu dipersetujui oleh semua parti komponen dalam PN.

“Apabila tiba masa PRU15 diadakan, maka PN didukung Bersatu, PAS, Gerakan, Star dan SAPP, akan gerakkan semua jentera kita,” kata Muhyiddin pada sambutan ulang tahun keenam Bersatu di Putrajaya.

Kenyataan Muhyiddin itu hadir selepas lima hari Takiyuddin menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) merupakan musuh mereka pada PRU ke-15 dan bukan BN.

Takiyuddin berkata, partinya juga masih percaya hanya gabungan dengan UMNO-BN atas konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional mampu menjadi formula berkesan untuk mereka menghadapi PH.

Katanya, pendekatan itu diterima majoriti pengundi ke arah mewujudkan sebuah “kerajaan prihatin rakyat” dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat di samping pada masa yang sama memberi perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang.-MalaysiaGazette