Banjir di Johor baru-baru ini berlaku di luar musim dan tiada siapa jangka bila bencana itu akan berlaku.

JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di Johor  dikatakan semakin pulih apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini ditutup semalam pada jam 7 malam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, memaklumkan PPS  terlibat ialah Dewan Raya Gelang Patah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nong Chik.

Bagaimanapun empat lagi PPS di negeri itu masih beroperasi dan menempatkan 193 mangsa daripada 58 keluarga.

Katanya empat lagi PPS masih beroperasi iaitu dua di Pontian yang mencatat peningkatan mangsa, di Sekolah Agama (SA) Kayu Ara Pasong (70 mangsa daripada 22 keluarga) dan PPS Pusat Kokurikulum Sungai Tempayan (sembilan mangsa daripada tiga keluarga).

Sementara dua PPS di Batu Pahat iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintang Peserai menempatkan 30 mangsa daripada lapan keluarga serta Sekolah Agama (SA) Seri Bengkal yang menempatkan 84 mangsa daripada 25 keluarga.

Kawasan yang dinaiki air antaranya adalah Kampung Parit Sapran, Kampung Bintang Peserai, Parit Lapis Kayu Ara Pasong dan Kampung Seri Bengkal. – MalaysiaGazette